Datuk Radin Bung Mokhtar Jaguh Dewan Parlimen.

'Jaguh' Dewan Rakyat

      Ketegasan Ahli Parlimen Kinabatangan ada kaitan dengan sejarah hidup penuh liku, ranjau dibelenggu kemiskinan

      NAMA Datuk Bung Mokhtar Radin memang menarik perhatian ramai setiap kali Dewan Rakyat bersidang kerana ‘jaguh’ dari Kinabatangan ini sentiasa bersedia menangkis segala asakan daripada pembangkang demi mempertahankan maruah partinya, Barisan Nasional (BN).

      Ketegasan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan sejarah hidupnya yang penuh liku dan ranjau berikutan kemiskinan hidup membelenggu zaman mudanya sehingga beliau terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarga.

      Sebagai anak kampung dari pedalaman yang suatu masa dulu paling mundur di Sabah, Bung Mokhtar berkata, kemiskinan yang pernah dialaminya cukup menginsafkannya dan kerana itu beliau sentiasa mendekati rakyat dan memberi bantuan kepada mereka.

      "Saya daripada keluarga yang besar, ada 13 adik beradik, ayah pula buruh. Bagi membantu keluarga, saya melakukan pelbagai kerja seperti menoreh getah dan kerja kilang.

      "Saya akhirnya berhenti sekolah ketika berada dalam tingkatan empat, ia dilakukan semata-mata untuk membantu keluarga. Bagi mencari rezeki, saya mengambil upah mencari sarang burung di Gua Gumantung," katanya merenung jauh mengingati kenangan silamnya.

      Bagaimanapun, semangat mahu berjaya tetap membara pada dirinya apabila beliau mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1989 dan lulus Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Boxton, United Kingdom dalam pendidikan jarak jauh sebelum lulus Sarjana Analisis Strategi Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

      “Pengalaman perit masa silam tidak akan saya lupakan kerana itulah apabila ada rezeki lebih, saya sentiasa akan membeli pakaian dan barangan untuk diserahkan kepada mereka yang susah," katanya.

      Menceritakan detik yang membawa beliau menceburi bidang politik, Bung Mokhtar berkata insiden itu berlaku pada 1977, ketika dia berada di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan.

      “Ketika itu kerajaan Sabah baru saja diambil alih oleh Berjaya daripada Usno. Saya dimaklumkan kakak dan abang saya yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bilit serta Yayasan Sabah dipecat.

      "Pemberhentian mereka dibuat tanpa sebarang alasan namun saya difahamkan selepas itu ia kerana keluarga kami adalah penyokong Usno ketika itu. Bila saya tahu, saya jadi marah. Saya tanya pada diri sendiri, inikah politik apabila tidak menyokong parti terus dipecat," katanya.

      Apabila Umno mula mengembangkan sayapnya ke Sabah pada akhir 1990, Bung Mokhtar adalah antara pemimpin yang paling aktif membantu. Beliau ketika itu dilantik sebagai penaja Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah dan Ketua Pemuda Kinabatangan.

      Apabila Umno disahkan masuk ke Sabah pada 21 Februari 1991, Bung Mokhtar kekal menjadi penaja Ketua Pemuda Kinabatangan. Pada 1994, apabila pilihan raya negeri Sabah diadakan, Bung Mokhtar dicalonkan bertanding atas tiket BN di kerusi Kuamut, menentang calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Joseph Saang. Bagaimanapun, beliau tewas di kubu kuat pembangkang itu.

      Selepas kekalahan itu, Bung Mokhtar tidak putus asa atau merajuk. Pada pilihan raya umum 1995, beliau membuktikan kesetiaannya apabila bertanding dan memenangi Parlimen Kinabatangan.

      Beliau mempertahankan kerusi Kinabatangan itu apabila memenangi tanpa bertanding pada 2003 dan sekali lagi pada Mac lalu. Bung Mokhtar berkata beliau sangat gembira kerana isteri dan empat anaknya memahami tugasnya sebagai wakil rakyat apabila sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepadanya.

      "Saya bersyukur kerana memiliki sebuah keluarga yang cukup memahami. Bayangkan jika dewan bersidang panjang, dalam sebulan saya hanya mempunyai masa 12 hari bersama mereka manakala selebihnya di Parlimen.

      "Malah ada kalanya ia terpaksa dibagi lagi dengan tugasan di kawasan pada hujung minggu," katanya.

      PROFIL: Datuk Bung Mokhtar Radin

        a.. Jawatan : Ahli Parlimen Kinabatangan
        b.. Asal : Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah
        c.. Umur : 49 tahun
        d.. Tarikh Lahir : 15 September 1959
        e.. Keturunan : Orang Sungai
        f.. Ibu bapa : Rashidah Jikrun dan Radin Yatim
        g.. Adik beradik: 13 (anak kelima)
        h.. Isteri : Datin Nor Asidah Alimudin
        i.. Anak : Empat (Mohd Khairulnizam, 16, Mohd Kurniawan Naim, 14, Nor Khairunisah, 9, Nur Safurah, 6 bulan)

      Pendidikan

        a.. Sarjana Analisis Strategi Keselamatan UKM
        b.. Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Boxton, United Kingdom
        c.. Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan
        d.. Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bilit, Kinabatangan

      Jawatan politik

        a.. Ahli Parlimen Kinabatangan (penggal ketiga sejak 1999)
        b.. Ketua Umno Bahagian Kinabatangan (1996 sehingga sekarang)
        c.. Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah (1991-1995)
        d.. Ketua Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan (1991-1995)
        e.. Exco Pemuda Usno (1980-1991)
        f.. Ketua Pemuda Usno Bahagian Kinabatangan (1979-1991)



posted by: Nazir Hj Salleh (Pemuda Kinabatangan) (reply)
post date: 04.05.09 (10:28 am)

A'kum Datuk, kami rakyat Kinbatangan "TATAP" menyokong & terus beri kepercayaan pada Datuk. "ATUR"....



posted by: Mohammad bin Ismail (reply)
post date: 06.02.09 (10:45 pm)

Assallamualaikum w.r.t Yang Berhormat Datuk. Terima kasih kerana menyediakan ruang ini walau pun saya hanya cuba mencari email Datuk.

Datuk, saya hendak ringkaskan saja komen saya: Sekarang kerajaan sudah pun goyah oleh parti pembangkang tetapi bukannya saya. Saya memang penyokong setia BN dan penyokong Datuk juga.

Komen saya: Cuba kaji ketua-ketua yang Datuk lantik terutama di Kampung Sukau dan juga Kg. Bilit. Adakah mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan contohnya yang saya dapat lihat serba sedikit di Kg. Sukau, sekarang orang kampung membuang sampah tidak kira siang atau pun malam di Sungai Kinabatangan. Dalam buah fikiran saya mereka tidak salah kerana mereka tidak ada pilihan melainkan membuang sampah merata tempat. (Renung-renungkanlah). Kilang juga kadang kala membuangkan bahan toksik mereka ke sungai kita yang diminum oleh penduduk kita. Kami ada bukti yang sungai Kinabatangan itu mempunyai (ph)(kualiti air) yang kurang baik. Ditambahkan pula bapa saya seorang nelayan tegar di Kg. Sukau, dia sering melihat kejadian-kejadian keracunan air di hampir setiap kawasan anak-anak sungai.

Tolonglah Datuk, memang saya tahu penduduk kita kurang yang berpendidikan tapi kalau kita asah mereka untuk menjadi orang yang boleh mendekati/mendengar tentang pengetahuan semasa, saya berpendapat mereka akan berubah menjadi penduduk yang berpengetahuan luas. Mungkin susah tapi pasti ada caranya.

Ekonomi penduduk kampung juga agar dapat di pertimbangkan untuk difikirkan bersama. Penyampaian dan kerjasama harus dititik beratkan. Saya melihat kurangnya penyampaian dari kerajaan sedikit sebanyak dapat merugikan kerajaan BN kelak kerana pengalaman saya sendiri, di Kedah BN tidak/kurang menjalankan tugas dengan berkesan. Untuk makluman Datuk ISTERI saya orang Kedah sebab itulah saya berani untuk bersuara. Saya tidak ingin lagi Sabah diperintah oleh PEMBANGKANG.

Di harap dilain masa saya dibenarkan lagi untuk bersuara, ada banyak lagi yang saya ingin berkongsikan untuk Datuk untuk mengekalkan Datuk dipersada PARLIMEN KINABATANGAN. Inilah masanya kami mengharapkan bantuan demi bantuan daripada Datuk. Saya juga mendoakan Datuk dan seisi keluarga di rahmati Allah.

MAJULAH, MAJULAH DAN TERUS MAJU KINABATANGAN.



posted by: Jamil Abd.Rahim (reply)
post date: 07.05.09 (7:55 am)

Assalamualaikum Datuk, teruskan usaha murni Datuk membela anak bangsa.Kami sentiasa menyokong perjuangan Datuk. Apa yang menjadi kebimbangan saya adalah tentang ujudnya ruang antara Datuk dengan YB Saddi yang sepatutnya tidak timbul dan di biarkan berlarutan demi untuk kebaikan semua. Namun demikian saya yakin dan percaya Datuk mampu untuk memperbaiki dan menutup seagala ruang sekiranya ada agar Datuk berdua dapat sama-sama berganding bahu dalam memperbaiki dan mempertingkatkan kestabilan khususnya di Kinabatangan.Kami juga berharap agar semua pemimpin yang mewakili kami dapat bekerja tanpa sebarang tekanan.



posted by: anak BG (reply)
post date: 08.27.09 (11:46 pm)

Hidup KINABATANGAN!


Your Name:


Your Comment: