Jangan jadikan parlimen tempat sarkas lompat melompat

Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen kedua-duanya adalah wakil rakyat. Mereka membawa suara, isihati dan kehendak rakyat. Mereka berkhidmat untuk rakyat dan kerana rakyat. Malah mereka dipilih oleh rakyat. Dengan kata lain, tindakan wakil-wakil rakyat bukanlah tindakan bersendirian. Apabila ahli parlimen membuat undi di Dewan Rakyat, bermakna mereka mengundi bagi pihak masyarakat yang diwakili.

Maksudnya, segala tindakan wakil rakyat adalah kehendak majoriti rakyat yang telah memilih mereka. Wakil-wakil rakyat tidak boleh mengundi atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak rakyat kerana itu sudah tidak sedlari dan bertentangan dengan maksud wakil.

Wakil rakyat dipilih dalam pilihanraya melalui parti. Parti itulah lambang sokongan dan kekuatan rakyat di kawasan masing-masing. Tatkala bertanding, calon meminta restu dan sokongan daripada orang ramai termasuk daripada mereka yang bukan menjadi ahli partinya.
YB dipilih kerana partinya oleh itu YB berkenaan harus terikat dengan parti yang telah dipilih.
Wakil-wakil rakyat ini tidak boleh sewenang-wenangnya menukar atau melompat parti kerana itu bukan kehendak rakyat yang diwakili. Parti baru yang hendak disertai wakil rakyat berkenaan, mungkin parti yang mereka tentang habis-habisan sebelum ini.
Oleh itu, memang wajarlah digubal undang-undang untuk menyekat wakil rakyat menjadi katak pula. Mereka tidak boleh lompat parti ikut perangai katak iaitu melompat ke mana sahaja ia suka.
Katak bolehlah mana-mana ia nak pergi sebab di belakangnya bukan ada pengikut. Jangan kata pengundi, anak sendiripun dibiarkan bergerak sendiri. Elok sangatlah ada undang-undang untuk menyekat wakil rakyat katak ini. Kalau boleh, sekat terus mereka ini daripada bertanding kerana kita percaya, jika dibiarkan, institusi parlimen dan dewan negeri nanti bakal bertukar fungsi daripada penggubal undang-undang kepada sarkis zaman purba! .

Your Name:


Your Comment: